Friday, December 4, 2009

Sambungan... 'Hanif' (Part 2)

Aku tergerak untuk memberitahu ayahnya, di mana Hanif.
"Tak usah risau, Hanif ada kat sini. Tengah tidur". Kataku sambil begegas keluar halaman.
 "Tolong kejutkan. Saya nak dia balik". Dengusnya. Apakah dia marah? Apakah dia terasa lega? Riak wajah itu tidak terbaca olehku. Senyumannya seolah dipaksa.

Aku segera berlari masuk kedalam dan kejutkan Hanif. Ketakutan, Hanif mengangkut semua pakaiannya dan terus berjalan keluar, menurut perintah tanpa berani menatap wajah ayahnya. Sempat aku menyapu kepalanya dengan perasaan kasihan dan sedih. Anak beranak itu pergi meninggalkan aku dengan tanda tanya. Apakah akan terjadi di rumahnya nanti? Aku masuk dan cuba menenangkan fikiran untuk tidur.

Keesokkan harinya, ku lihat Hanif keluar bersama ayahnya. Seolah-olah tiada apa berlaku malam tadi. "Alhamdulillah", aku bersyukur. Balik dari pejabat, belum sempat aku melabuhkan punggung,
Ting! Tong! bunyi loceng pintu. Ibu Hanif kelihatan pucat, tercegat di depan pintu.
"Akak, minta tolong bawa Hanif ke hospital", beliau memohon.
"Kenapa dengan Hanif?" tanyaku, cemas. Tanpa jawapan beliau berlari balik ke rumahnya.

Aku mencapai kunci kereta dan terus menghidupkan enjin. Sesaat kemudian, Hanif dipimpin ibunya terhenjut-henjut menuju kereta. Darah mengalir dari penjuru mata Hanif.
"Ya, Allah, selamatkanlah anak ini", doaku sambil memandu.

Mengikut cerita ibunya, selepas membeli belah dengan Ayahnya, Hanif terlupa untuk menutup bonet kereta setelah memunggahkan barang-barang belian mereka. Hanif disepak terajang oleh ayanhya. Kata ibunya lagi, Ayah Hanif sering memarah dan memukul Hanif, tidak setimpal dengan kesalahan yang Hanif lakukan. Aku geram dan sedih mendengarnya. Tapi aku juga tahu bahawa ibu Hanif juga sering melepaskan geram padanya. Aku tidak bertanya lebih lanjut kerana aku tahu Hanif sering menerima habuan akibat pertengkaran antara ayah dan ibunya. Itu lah yang telah kudengar melalui anakku yang menjadi teman baik Hanif selama ini.

Mendekati hospital Sungai Buloh, aku terus menuju ruang kecemasan. Setengah jam menunggu, ibunya keluar dari bilik rawatan.
"Akak, lepas ni tolong hantarkan ke Polis stesyen ya." pinta beliau. Aku iyakan. Masih, aku tidak bertanya lebih lanjut. Beliau masuk semula ke bilik rawatan dan keluar bersama Hanif 5 minit kemudian.

Di Balai Polis Kota Damansara, ku biarkan anak-beranak itu berurusan dengan pegawai di situ. Kulihat pegawai tersebut memanggil Hanif masuk ke tempat khas untuk mengambil gambar. Ibunya sedang sibuk menulis borang lapuran. Lapuran selesai.

Sambil berjalan menuju kereta, ibu Hanif menghulurkan salinan lapuran tersebut kepadaku. Satu persatu perkataan aku baca. Tidak dapat kubayangkan apa yang telah berlaku. Bangaimana seorang ayah bisa melakukan sedemikian terhadap anaknya. Langkah ku terhenti. Aku tidak sanggup memikirkannya lagi. Aku tidak dapat meneruskan catatan ku. Akan ku sambung lagi setelah perasaan geram ku reda. (bersambung akan datang)

No comments: